1. Kita semua tahu takut. Kita takut sakit. Kita takut kehilangan mereka yang disayangi. Kita takut dicedera atau dibunuh orang. Kita takut iman digugat. Kita takut mati. Kita takut dan kita patut takut. Sedikit sebanyak ia menyelamat kita.
2. Tetapi kadang-kadang kita takut kepada yang kita tidak patut takut. Kita takut gelap. Kita takut makhluk yang sebenarnya tidak wujud melainkan dalam fikiran kita atau dari cerita-cerita yang kita dengar, terutama semasa kecil.
3. Ramai kita orang Melayu percaya ada manusia yang mempunyai kelebihan tertentu – mampu meresap, menghilangkan diri. Dan kita takut kepada mereka ini.
4. Semasa saya kecil saya dengar kononnya orang Siam mempunyai “ilmu” tertentu. Mereka bukan sahaja boleh meresap tetapi mereka kebal dan tidak boleh ditikam. Ada yang berkata tembak dengan peluru pun tak tembus. Mereka juga boleh membuat perempuan gila kepada mereka.
5. Di Kedah peperangan sering berlaku dengan Siam (Thai) di zaman dahulu. Tentera Sultan amat takut kepada askar Siam. Mereka yakin mereka tidak boleh kalahkan tentera Siam kerana mereka itu kebal, boleh meresap. Kononnya kadang-kadang mereka boleh terbang dan tiba-tiba berada di belakang.
6. Maka anggota pasukan Melayu pun baca doa macam-macam. Namun mereka tidak dapat mengatasi ketakutan mereka. Belum pun bertempur dengan pasukan perang Siam, mereka sudah yakin mereka akan kalah.
7. Dan mereka pun kalah kerana tidak percaya mereka boleh menang. Mereka tidak pun dapat mempertahankan diri mereka. Mereka kaku disebabkan ketakutan. Dan askar Siam boleh menyembelih mereka. baca seterusnya…