Oyak.net

Selamat Tahun Baru 1439

Facebook
Google+
Twitter
WhatsApp
Telegram

Salam tahun baru.
Salam hari baru.
Salam lembaran baru.

Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah ialah hasil daripada ilham Khulafa Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Sayidina Umar Al-Khattab r.a. Ini turutan daripada Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.

Ada satu riwayat lain yang mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-Asya’ari telah mengirimkan surat kepada Sayidina Umar r.a. minta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya. Maka dengan ini beliau (Umar r.a.) mahukan satu kalendar / taqwim Islam yang khas untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.

Dalam kalangan bangsa Arab sendiri pun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Parsi, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah. Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasulullah SAW untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar / takwim Islam.

Peristiwa tersebut ialah peristiwa hijrah Rasullullah SAW dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada Rasul-Nya dan agama Islam ditegakkan. Hasil daripada itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil daripada pilihan Umar itu.

Antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitulmuqaddis dibebaskan daripada Empayar Rom dan Masjid Al-Aqsa dibangunkan. Setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Parsi dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik. Maka dengan itu Umar mengisytiharkan Kalendar Tahun Hijrah sebagai Kalendar / Takwim Islam yang rasmi.

Kalendar Hijrah ialah kalendar lunar/qamariah, yang dikira berdasarkan pergerakan/fasa bulan mengelilingi Bumi. Satu tahun Hijriah terdiri daripada 354 atau 355 hari, bermula pada bulan Muharram dan berakhir pada bulan Zulhijjah.

Tiada impian yang kuharapkan di saat kedatangan Tahun Baru Islam selain keredhaan daripada ALLAH SWT.

Selamat Menyambut Tahun Baru 1439